MACHANG – Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan negeri Kelantan dalam usaha untuk menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan yang sama seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah disalurkan kepada kerajaan negeri bermula tahun ini.
“Seperti yang telah dinyatakan, kerajaan mahu tata kelola dan libat urus berkait dengan perkara tersebut dijalankan secara telus,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri Felcra Berhad di Mahaad Tahfiz Yaakubiah, Bukit Tui, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sudah membuat pemantauan mengenai keperluan untuk menempatkan pegawai di syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB).
“Kita sudah menyerahkan perkara tersebut kepada Kementerian Kewangan,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerajaan akan mengemukakan cadangan bagi melaksanakan projek bekalan air yang lengkap dan cepat untuk membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat Kelantan sejak sekian lama.
Anwar berkata, cadangan itu dapat dilaksanakan sekiranya ada kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan.
“Saya tidak fikir banyak. Selepas lebih 60 tahun merdeka, kita boleh lihat isu air menjadi masalah politik yang tidak berkesudahan dan membebankan rakyat.
“Oleh yang demikian, kita (kerajaan) akan mencari dana (untuk projek air) dan penyelesaian kaedah yang betul dengan kerjasama kerajaan negeri Kelantan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini minggu lalu. – KOSMO! ONLINE