DENGKIL – Sepasang suami isteri hari ini berjaya membawa pulang dua hadiah utama kempen LBS Fabulous Extra 2022-23 anjuran pemaju perbandaran terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS).
Falize Akmal Ahmad, 30 dan isteri, Nur Nafisha Mudir, 26, terpilih sebagai pemenang sebuah Perodua Axia serta sebuah kerusi urut Ogawa Smart Reluxe Massage Chair bernilai RM10,999.
Menurut Falize, dia dan isteri tidak menyangka akan menerima dua hadiah utama yang disediakan menerusi kempen LBS Fabulous Extra 2022-23.
“Memang rezeki buat kami, dengan penantian rumah pertama kami yang dijangka siap sekitar 2025 itu nanti, kami juga berjaya terpilih sebagai pemenang sebuah kereta dan ditambah pula kerusi urut Ogawa ini, kalau nak beli sendiri memang tak mampu.
“Alhamdulillah, kereta baharu ini akan saya berikan untuk isteri. Mudah dia nak ke kerja selepas ini, sebab sekarang kami hanya ada satu kereta, dan kerja saya jenis tak menentu, ada masa tak sempat nak hantarkan isteri ke kerja. Sekarang dia sudah ada kereta sendiri,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang bertuah di galeri jualan KITA @ Cybersouth, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, 600 pemenang cabutan bertuah telah dipilih secara rawak bagi pusingan pertama menerusi media sosial Facebook rasmi LBS pada 3 Mei lalu.
“Bagi mereka yang tidak berjaya pada pusingan pertama, secara automatik akan layak untuk menyertai cabutan bertuah pusingan kedua.
“LBS sentiasa mengambil berat keinginan dan hasrat pembeli rumah dan akan terus berusaha untuk memberi nilai tambah. Diharap cabutan bertuah ini akan memberi pengalaman manis apabila mereka membuat keputusan untuk memiliki rumah LBS sebagai kediaman mereka,” katanya ketika berucap pada majlis sama.
Katanya lagi, dalam situasi harga rumah yang dilihat terus meningkat ketika ini, disamping kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini, beliau percaya bahawa ramai yang akan berfikir-fikir untuk membeli rumah.
“Bagaimanapun, saya percaya adalah menjadi tanggungjawab LBS untuk memenuhi hasrat rakyat di negara ini untuk memiliki rumah sendiri.
“Tumpuan LBS akan terus menjadi perumahan mampu milik yang tidak menjejaskan kualiti dan memberi penekanan kepada komuniti dan ketersambungan.
“Seperti kempen LBS Fabulous Extra, LBS yang berfungsi sebagai platform yang luar biasa untuk bakal pembeli rumah untuk mula mencari rumah idaman mereka dan pada masa yang sama berpeluang untuk memenangi hadiah menarik,” ujarnya.
Lebih menarik lagi, bakal pembeli rumah di perbandaran KITA @ Cybersouth yang membuat pembelian daripada 20 hingga 21 Mei 2023, juga berpeluang untuk memenangi Televisyen 40 inci secara percuma (tertakluk kepada terma dan syarat). – KOSMO! ONLINE