KUALA LUMPUR – Pelakon Meerqeen berpendapat tindakannya bergambar dengan aktres kelahiran Israel, Gal Gadot di sebuah acara di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini bukan satu perkara yang perlu dipertikaikan ramai.
Meerqeen atau nama penuhnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 22, menegaskan dia bergambar bersama bintang filem Wonder Woman itu atas dasar portfolio mereka berdua sebagai pelakon.
“Saya rasa okey sahaja perkongsian itu.
“Bergambar dengan Gal Gadot bukan sebab dia rakyat Israel tetapi kerana kami sama-sama bekerja sebagai pelakon,” katanya kepada media pada majlis rumah terbuka Civicas Network x Meerqeen di sini, baru-baru ini.
“Walaupun bergambar bersama, tidak bermakna saya menyokong apa yang dilakukannya (pro-Israel).
“Saya suka dia sebagai seorang pelakon. Jadi mengapa perlu lepaskan peluang sebegitu,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia berpendapat individu yang mengecamnya akan melakukan perkara sama sekiranya bertemu dengan pelakon kesukaan tanpa memikirkan hal negatif lain.
“Sekiranya mereka yang mengecam saya pun, jika bertemu dengan Gal Gadot pasti akan bergambar bersama juga.
“Jadi apa bezanya?” ujarnya yang popular menerusi drama Melur Untuk Firdaus.
Pada 28 April lalu, bekas finalis Hero Remaja 2020 itu dihujani dengan kecamna dan dilabel sebagai tidak sensitif selepas memuat naik foto bersama Gal Gadot di sebuah acara perasmian kedai barangan kemas berjenama mewah di New York.
Selain Meerqeen, aktres, Zahirah MacWilson yang menghadiri acara sama dan turut bergambar dengan Gal Gadot juga menerima kecaman daripada netizen. – KOSMO! ONLINE