JOHOR BAHRU – Keseronokan sekumpulan kanak-kanak dan remaja bermain di tepi Sungai Masai berhampiran Flat Seri Intan, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang malam semalam, di sini berakhir tragedi apabila dua daripada mereka mati lemas.
Mangsa, Mohd. Danish Ahmad, 11, ditemui meninggal dunia kira-kira pukul 5.06 pagi hari ini manakala rakannya, Zahir Ajmal Mohd. Idris, 13, ditemui pada pukul 7.38 pagi hari yang sama.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Pegawai Bomba, Sarhan Akmal Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.31 malam tadi.
“Operasi SAR yang dimulakan pada pukul 4.28 pagi berjaya menemui mangsa pertama iaitu Mohd. Danish pada pukul 5.06 pagi manakala mangsa kedua, Zahir Ajmal pula ditemukan pada pukul 7.38 pagi.
“Kedua-duanya ditemui pada jarak sekitar 50 meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Sarhan Akmal, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada pukul 8.33 pagi.
Sementara itu, Ketua Kampung Baru Masai, Indraputra Ibrahim berkata, pencarian dilakukan selepas ibu Zahir Ajmal membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya.
“Keluarga Zahir maklumkan anak bongsu daripada tiga beradik itu pergi bersama rakan-rakan untuk bermain di sekitar kawasan sungai itu sebelum terjatuh.
“Difahamkan, rakan-rakan mangsa yang turut bersamanya ketika kejadian bagaimanapun hanya memaklumkan perkara itu pada pukul 10 malam,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE