KAMPAR – Identiti semua mangsa yang terlibat dalam kemalangan sebuah treler terbabas dan terbalik di Kilometer 10, Jalan Malim Nawar-Kota Bharu di sini semalam sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, mangsa yang maut adalah pemandu treler, Hafize Nizam Ali Supian, 30, dan dua anaknya, Muhammad Afeef Rafiqie, 9, dan Arrian Nuh Hafize, 6.
Katanya, kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
“Siasatan awal mendapati, treler dipandu mangsa dipercayai terbabas di lorong kiri sebelum melanggar tiang elektrik dan besi penghadang jalan.
“Pelanggaran itu mengakibatkan kesemua mangsa tersepit dalam kenderaan dan cedera parah. Mangsa disahkan maut di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Kampar di sini hari ini.
Dalam nahas jalan raya pada pukul 10.20 malam itu, kenderaan berat dipandu mangsa membawa muatan simen dari Gopeng untuk dihantar ke Melaka. – K! ONLINE