PETALING JAYA -Tiga buah rumah jenis teres satu tingkat musnah hampir sepenuhnya selepas terbakar dalam kejadian di Jalan SS 5A/15 SS5, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada pukul 3.38 petang.
Menurut beliau, empat buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dan BBP Seksyen 7 dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, kebakaran melibatkan tiga buah rumah jenis teres satu tingkat, bangunan kelas A terbakar 70 peratus.
“Api berjaya dikawal pada pukul 4.15 dan berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak Pihak Bomba pada pukul 4.30 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hafisham, kejadian dalam keadaan terkawal dan tiada mangsa direkodkan dalam insiden ini. -KOSMO! ONLINE