ANKARA, Turkiye – Sebuah sofa dipercayai dari tingkat 21 sebuah bangunan tinggi diterbangkan angin kencang dan menghempap sebuah rumah di kawasan berdekatan dalam kejadian di Ankara kelmarin, lapor portal berita MailOnline.
Klip video kejadian pelik itu dirakam oleh penduduk setempat. Ia menunjukkan sofa tersebut berpusing-pusing di ruang udara lalu jatuh dan mengenai sebuah rumah.
Kejadian berlaku ketika Turkiye dilanda ribut dan angin kencang berkelajuan sekitar 80 kilometer sejam.
Dalam klip video itu, seorang jiran merakam cuaca aneh dan awan gelap meliputi sebuah bangunan kediaman.
Sebuah objek dilihat keluar dari menara itu. Ia pada mulanya kelihatan seperti sebuah pesawat, namun terhenti di ruang udara dan mula berputar.
Mereka yang melihat kejadian itu memberikan reaksi terkejut kerana objek terbang itu rupanya sebuah sofa. Sofa tersebut kemudian jatuh dan menghempap sebuah rumah jiran. – Agensi