MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui tidak timbul isu ‘tikam belakang’ membabitkan dua pihak berkepentingan terhadap penggunaan Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Ketika ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berdepan risiko menjadi mangsa kecaman jika kapasiti tempat duduk tidak dapat dimaksimumkan seandainya venue berkenaan menjadi lokasi perlawanan kelayakan Piala Asia 2027.
Mengikut penjadualan penggunaan Stadium Nasional, konsert kumpulan popular, Coldplay diadakan pada 22 November iaitu sehari selepas perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 dijadualkan berlangsung.
“Memang isu stadium kita akan kena seimbangkan antara sukan dan konsert. Yang ini kita sudah bincang mengenai pilihan, namun saya tidak mahu umum dulu kerana kita kena tunggu undian (Piala Asia 2027) terlebih dulu.
“Kita pun sudah bincang dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, kita tunggu undian dulu dan dia pun sudah buat perancangan,” katanya.
Ketika ini, FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mempunyai ikatan perjanjian untuk menjadikan stadium berkenaan sebagai ‘Rumah Harimau Malaya’ sehingga 31 Disember 2025.
Sebelum ini, isi pengosongan tempat duduk penonton menjadi kecoh pada separuh akhir Piala AFF ekoran persiapan pentas konsert Jay Chou.
Kelmarin, Hamidin memberitahu, pihaknya tidak rela insiden pengosongan tempat duduk sekali lagi berlaku kerana badan induk itu juga miliki hak kerana sudah tandatangan kontrak dengan PSM.
“Saya sudah nyatakan perkara ini, ia tidak boleh terjadi lagi. Menteri (Hannah) setuju kerana kita sudah maklumkan kontrak dengan PSM berkenaan semua kelendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Kalau tak, buat apa tandatangan kontrak dengan PSM, baik pergi stadium lain. Tetapi, kita sudah dapat penyelesaian dengan menteri (Hannah) bahawa kita lihat dahulu undian kelayakan Piala Asia,” katanya.