MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh enggan melayan kritikan dilemparkan terhadapnya susulan kegagalan Malaysia mencapai sasaran 40 pingat emas pada Sukan SEA Kemboja 2023.
Bagi Hannah, tiada sebab beliau memohon maaf kerana menghantar ramai atlet muda beraksi di Phnom Penh yang menyebabkan Malaysia memungut 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa untuk menamatkan temasya di kedudukan ketujuh.
Menurutnya, penyertaan 63 peratus atlet muda berjaya menuai hasil yang masih membanggakan apabila menyumbang 18 emas, 27 perak dan 66 gangsa sekali gus menjelmakan masa depan cerah sukan tanah air.
“Orang yang komen tidak mengikuti sidang media sebelum menghantar kontinjen lagi. Kita sudah katakan daripada hari pertama kita tahu akan hilang 12 pingat emas kerana beberapa sukan dan acara tidak dipertandingkan.
“Kalau kita dapat 40 emas pun ranking kita tidak berubah. Kalau nak jawab, saya tak akan mohon maaf kerana membuat keputusan melabur untuk atlet muda. Ini adalah keputusan terbaik untuk Malaysia,” katanya.
Hannah berkata demikian dalam sidang media rangkuman prestasi kontinjen Malaysia pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.
Dalam masa sama, Hannah turut mengaitkan ketidakstabilan politik sejak lima tahun lalu menjadi antara punca kemerosotan prestasi sukan hingga menyebabkan perancangan termasuk program pembangunan terjejas.
“Saranan Yang di Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dalam soal kestabilan dalam masa lima tahun sangat penting untuk kita bekerja dan membuahkan hasil.
“Sebelum ini ada menteri tidak sampai setahun. Keluar bajet, langkah susulan dan melaksanakan strategi tidak sempat. Sebab itu format Road to Gold (RTG) menteri duduk bersama MOM (Majlis Olimpik Malaysia) kalau salah satu ditukar, ia tetap berjalan dan tidak terganggu,” jelasnya.