fbpx

Pengutip bahan terbuang jumpa bom tangan latihan tepi tong sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah kotak kayu yang mengandungi bom tangan latihan di tepi tong sampah di Jalan Gurun-Jeniang, Gurun pada petang semalam.

GURUN – Seorang pengutip bahan terbuang menemui sebutir bom tangan yang digunakan untuk latihan di tepi deretan tong sampah di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 5, Jalan Gurun-Jeniang di sini pada petang semalam.

Menurut Hassan Hamid, 65, dia menemui objek itu di dalam satu kotak kayu di luar tong sampah kira-kira pukul 6.45 petang.

“Pada masa itu saya baru sampai ke kawasan itu dari rumah di Kampung Banggol Sawa, Pendang untuk mencari bahan berharga yang boleh dijual sebelum menemui sebuah kotak kayu kecil di situ.

“Saya menghampirinya dan mendapati terdapat kesan kotak itu telah dibuka dan mendapati terdapat sebutir bom tangan di dalamnya,” katanya di sini hari ini.

Menurut bapa kepada empat anak itu, sebagai bekas anggota tentera laut, dia mengetahui bahawa bom tangan itu digunakan untuk latihan sebelum bertindak menghubungi talian kecemasan 999 untuk memaklumkan penemuan bom tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, sepasukan pegawai dan anggota Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah bergegas ke lokasi.

“Pemeriksaan pihak kita mengesahkan bom tangan yang ditemui itu tidak mempunyai bahan letupan di dalamnya.

“Bom tangan latihan itu kemudian dibawa balik ke IPD Kuala Muda dan pihak kita kini membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) untuk meneruskan siasatan bagi mendapatkan pengesahan daripada beberapa pihak tertentu tentang kewujudan objek itu di tempat kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI