PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri sehingga 6 petang.
MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, negeri yang dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang ialah Perlis, Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Kedah di Langkawi, Sik dan Yan, Perak antaranya di Kinta, Kampar dan Muallim, Selangor di Hulu Selangor, Negeri Sembilan antaranya di Jelebu dan Kuala Pilah.
“Pahang antaranya di Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub, Johor antaranya di Mersing dan Kota Tinggi, Sarawak antaranya di Sri Aman dan Betong, manakala Sabah di Pedalaman dan Tawau,” katanya.
Kata MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE