KUALA LUMPUR – Pengacara terkenal Jihan Muse menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa dirinya sudah bersara daripada dunia hiburan.
Kata Jihan, 39, dakwaan tersebut tercetus selepas mengambil keputusan untuk memperlahankan aktiviti seni bagi memberi fokus membesarkan dua anaknya.
“Disebabkan saya tidak perbaharui kontrak dengan beberapa jenama, ada yang menyangka saya sudah tidak terlibat dengan industri hiburan.
“Ingin ditegaskan, saya tidak pernah berhenti dan belum bersara lagi,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang akhbar I Can See Your Voice Malaysia musim keenam (ICSYV6) di sini, semalam.
Akui pemilik nama penuh Nuur Jihan Musa itu, aktiviti seninya kini diperlahankan kerana memberi fokus penuh terhadap keluarga termasuk menjaga sendiri dua anaknya yang masih kecil.
Ujarnya, jadual kerjanya juga bergantung kepada susunan waktu kerja suaminya, Ungku Hariz.
“Kalau saya berehat tiga bulan bermaksud suami perlu bekerja sepanjang tempoh tersebut.
“Jadual kami saling bergilir, jika dia kerja, saya jaga anak dan sebaliknya.
“Kami memilih untuk menjaga sendiri anak tanpa memerlukan bantuan pembantu rumah sebab mahu melihat mereka membesar sendiri di depan mata,” katanya lagi.
Jihan yang mendirikan rumah tangga dengan Ungku Hariz pada tahun 2018 dikurniakan dua orang cahaya mata, Ungku Arsalan Haq, 5, dan Ungku Altamis Barr kini berusia lapan bulan.
Menerusi ICSYV6, Jihan memegang peranan sebagai penyiasat tetap di samping Khir Rahman, Ropie dan Baby Shima.
ICSYV6 masih dihoskan oleh Izzue Islam bersama pasangan pengacara baharu, Shiha Zikir. – KOSMO! ONLINE