PUTRAJAYA – Penuntut jurusan komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kini berpeluang menjalani kursus di stesen penyiaran terkenal Al Jazeera di Qatar.
Berita itu dimaklumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melalui kenyataan akhbar sebagai mengulas lawatan kerja ke negara itu baru-baru ini.
“Mahasiswa UIAM yang terlibat akan mendapat peluang latihan lapangan dan menyertai siri kursus serta segala program bakal disediakan pihak Al Jazeera sendiri.
“Langkah bersejarah itu bakal merintis peluang dan manfaat kepada industri pendidikan tinggi dan media di Malaysia belajar kejayaan Al Jazeera hampir tiga dekad,” katanya hari ini.
Lawatan kerja selama dua hari bermula Isnin lalu turut diiringi Duta Besar Malaysia ke Qatar, Zamshari Shaharan serta delegasi daripada Education Malaysia Global Services.
Al Jazeera merupakan stesen antarabangsa milik kerajaan yang dikendalikan firma Al Jazeera Media Network dan ditubuhkan pada 1996 lalu dengan liputan seluruh dunia.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, hasil kunjungan ke ibu pejabat operator itu, memorandum persefahaman dimeterai dan disaksikan antara UIAM dengan Aljazeera.
Selain itu, beliau membuat lawatan tapak serta meninjau kemajuan penubuhan kampus cawangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha yang dalam pembinaan.
Ia akan beroperasi akhir tahun ini menawarkan empat program peringkat prasiswazah dan satu program pascasiswazah secara pesisir dengan kerjasama sebuah firma Qatar.
Mohamed Khaled berharap, pewujudan kampus luar itu membuktikan kecemerlangan kualiti pendidikan tinggi negara selain mengeratkan hubungan baik dengan Qatar. – KOSMO! ONLINE