PETALING JAYA – Kehadiran pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan-kawasan kediaman, komersial dan juga perindustrian berjaya meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap keselamatan diri dan harta benda.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, bagi tempoh Januari hingga April, unit kereta peronda (MPV) menjalankan sebanyak 872,283 pemeriksaan kenderaan serta sejumlah 76,768 saman dikeluarkan.
“Di samping itu, anggota unit MPV juga membuat 1,651 tangkapan dan 770 tangkapan berkait kes jenayah yang mana 777 adalah tangkapan berkait kes narkotik dan 104 berkait lain-lain kes.
“Dalam pada itu, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) juga turut melaksanakan sebanyak 154,887 aktiviti ‘Stop and Talk’ serta ‘Meet and Greet’ sebagai usaha mendekatkan lagi PDRM dengan masyarakat,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara, di Bukit Aman, hari ini.
Dalam pada itu, Acryl menyeru seluruh warga pasukan agar dapat melipat gandakan usaha bagi mencapai prestasi kerja yang lebih cemerlang, demi memenuhi harapan kerajaan, serta ekspektasi masyarakat.
“Kita akan meneruskan usaha-usaha menyediakan langkah pencegahan yang berterusan dan berstrategi serta diyakini. Kita percaya dapat mengurangkan kejadian jenayah daripada terus berleluasa,” katanya.
Dalam majlis yang sama, Acryl menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 37 anggota yang terdiri daripada pegawai polis dan pegawai awam dari pelbagai jabatan yang menunjukkan prestasi cemerlang.
Antara yang menerima sijil penghargaan tersebut, dua orang anggota Unit MPV Kontinjen Kelantan atas kejayaan merampas dadah bernilai RM9.5 juta semasa bertugas menjalankan rondaan.
Turut menerima pujian yang sama, dua orang anggota Unit MPV Kontinjen Kuala Lumpur yang telah berjaya merampas senjata tiruan sejumlah 25 laras rifle, dua pucuk pistol dan 480 butir peluru plastik bernilai RM318,000. – KOSMO! ONLINE.