PUTRAJAYA – Kerajaan bersedia mempertimbangkan polisi bagi mengutamakan produk Malaysia sebagai bentuk sekatan bukan tarif terhadap komoditi luar yang bebas dijual di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha tersebut antara cara kerajaan membantu pemain industri komoditi pulih daripada tekanan kuat oleh pihak luar.
“Mereka ada membangkitkan isu kalau kita eksport ke negara luar, banyak sekatan bukan tarif yang dikenakan tetapi sebaliknya jika produk asing pula mereka bebas masuk ke sini.
“Justeru, mereka memohon agar kita memberi penekanan balik kepada ‘Buy Malaysian First’ (diutamakan beli barangan Malaysia),” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan sesi Dialog Bersama Industri Agrikomoditi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pelaksanaan kembali dasar tersebut merupakan salah satu daripada 55 cadangan selain isu diutarakan pemain industri dalam dialog sehari itu.
“Kerajaan juga diminta membantu pihak terlibat agar produk di eksport terutama ke negara Kesatuan Eropah (EU) dapat memenuhi standard ketat ditetapkan oleh blok itu,” ujarnya.
Segala input disuarakan mereka jelas beliau, turut digunakan pihak kementeriannya bagi penyediaan Belanjawan 2024 dan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
Walau bagaimanapun, ujarnya ada beberapa isu dan syor yang tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat disebabkan kekangan tertentu namun akan diperhalusi lebih terperinci.
Pihak industri juga katanya, bersedia menghadapi cabaran semasa agrikomoditi sejagat dan mencari peluang kerjasama bagi mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.
Kementerian beliau turut akan menilai semua input diterima untuk diselaras dan ditambah baik ke atas Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2023 serta rancangan Malaysia berikutnya. – KOSMO! ONLINE.