fbpx

Labur kilang baharu, Mahsuri Food Sdn Bhd sasar pasaran global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMINUDDIN Harun, (tengah), diiringi Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Food, Roslan Mahyuddin, (tiga dari kiri), ketika gimik Majlis Pecah Tanah Tapak Perusahan Syarikat Mahsuri Food Sdn, Bhd., hari ini.-GAMBAR : MOHD SHAHJEHAN MAAMIN/KOSMO!

SEREMBAN – Mahsuri Food Sdn Bhd yang sudah beroperasi lebih 20 tahun lalu telah menetapkan sasaran sekurang-kurangnya lima tahun lagi untuk menembusi pasaran global seperti di Amerika Syarikat, sekali gus menempatkan produk buatan Malaysia di mata dunia.

Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Food Sdn Bhd, Datuk Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, sasaran tersebut adalah selari dengan pembukaan kilang baharu syarikat tersebut yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal 2025.

Menurutnya, dalam usaha melonjakkan Mahsuri sebagai syarikat yang kompetitif, syarikat mengumumkan pembinaan sebuah kilang pembuatan Mahsuri yang baharu di Halal Park Bandar Enstek, Negeri Sembilan dengan nilai pelaburan sebanyak RM250 juta untuk membina fasiliti ini.

“Dengan keluasan sebesar 24,000 meter persegi, tapak baharu ini akan membolehkan Mahsuri Food untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya serta menyediakan produk Halal berkualiti tinggi untuk pelanggan-pelanggan kami.

“Kami percaya bahawa dengan adanya kilang ini, bukan sahaja dapat kami tingkatkan jenama Mahsuri di Malaysia, malah menjadi tumpuan di peringkat global,” katanya sempena Majlis Pecah Tanah Tapak Perusahaan Syarikat Mahsuri Food Sdn Bhd di Halal Park Bandar Enstek, di sini, hari ini.

Turut hadir menyempurnakan simbolik pecah tanah ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Ujar Mohd Roslan lagi, kilang yang dibina itu bakal dilengkapi dengan teknologi moden mesin Rotary-type Koji Making yang akan menjadikan Mahsuri Food syarikat pertama yang menggunakan teknologi canggih ini di rantau ASEAN.

Menurut beliau, kilang itu turut mempunyai tempat pembuatan, gudang, makmal jaminan kualiti, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), pejabat serta kemudahan sosial.

“Bagi melaksanakan amalan environment, social and governance (ESG), Mahsuri Food juga akan mendirikan kemudahan yang sesuai untuk meningkatkan penjimatan sumber serta menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui agar dapat meminimumkan penggunaan tenaga konvesional.

“Oleh itu, Mahsuri Food berhasrat untuk mencapai pensijilan LEED atau Leadership in Energy and Environmental Design yang mana kilang ini dapat berfungsi dengan efisien, penjimatan kos serta baik untuk alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Roslan berkongsikan sejarah penubuhan Mahsuri Food yang telah ditubuhkan pada lewat 1990-an ketika Malaysia sedang melalui pertumbuhan ekonomi yang pesat.

“Perjalanan kami bermula apabila seorang pelabur antarabangsa tertarik dengan makanan Malaysia semasa lawatan ke Langkawi bersama kumpulan usahawan Malaysia yang inovatif dan berpengalaman dalam industri makanan.

“Bermula daripada detik itu, dengan kolaborasi kepakaran dan bantuan teknologi moden, mereka berganding bahu dalam mencipta resepi kicap yang halal untuk dipasarkan kepada rakyat Malaysia,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI