GUA MUSANG – Cuaca panas yang melanda negara ketika ini memberi limpahan rezeki kepada peniaga tembikai di Bandar Baru di sini apabila mampu menjual sehingga 24 tan tembikai boci atau tembikai merah tanpa biji setiap hari.
Zuhairi Hashim, 34, yang membuka gerai di tepi jalan sejak lebih sebulan lalu berkata, ia ditambah dengan harga tembikai yang murah ketika ini iaitu tembikai boci gred B serendah 80 sen sekilogram dan gred A pula RM1.20.
Katanya, sebelum ini, harga tembikai dijual pada harga RM4.50 sekilogram dan ia sebenarnya agak mahal untuk kebanyakan pelanggan,
“Cuaca panas memberi limpahan rezeki kepada saya apabila buah berkenaan laris dibeli pelanggan antara 12 hingga 24 tan setiap hari.
“Harga buah tembikai yang murah menyebabkan pelanggan sudah tidak berkira untuk membeli,” katanya di sini semalam.
Katanya, bekalan tembikai dibeli secara pukal dari ladang tembikai di Dabong, Tok Bali, Pasir Puteh dekat sini dan Setiu, Terengganu.
Zuhairi memberitahu, selain daripada mengejar hasil jualan, dia juga berniat untuk berbuat amal dengan menetapkan harga tembikai yang amat berpatutan kepada pelanggan.
Katanya, dia berniaga bersama isteri, adik-beradik dan saudara-maranya seawal pukul 8 pagi sehingga 10 malam setiap hari.
“Ramai peminat membeli tembikai gred B kerana harganya lebih murah selain isinya mampat dan manis,” jelasnya.