JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan luahan perasaan seorang wanita yang mengaku penat untuk menguruskan rumah tangga meskipun baru seminggu berkahwin, lapor laman berita Merdeka hari ini.
Berdasarkan video dikongsikan seorang suami bernama Baihaki, isterinya dilihat menahan air mata sambil mengadu berasa letih.
Menurut wanita itu, sebagai seorang yang baru berumah tangga, dia berasa amat sukar menguruskan kehidupan baharunya itu.
Kata si isteri, hidupnya banyak diuruskan oleh ibunya ketika bujang sehinggakan dia tidak perlu memasak apabila lapar.
“Mengapa menangis? Penat ya?” soal Baihaki.
“Ya. Penat menguruskan orang lain kerana biasanya, ibu yang menguruskan saya. Sebelum ini, bangun pagi pukul 11 pagi dan kalau mahu makan, makanan sudah tersedia di atas meja,” kata wanita berkenaan.
Baihaki cuba menghiburkan hati isterinya dengan memuji wanita tersebut.
“Nanti anda akan dapat membiasakan diri. Lagi menangis, lagi cantik. Senyum pun makin cantik,” kata Baihaki.
Kata-kata itu kemudian dijawab oleh isterinya sambil berkata: “Saya mahu tidur, jangan ganggu saya. Pergi masak makanan sendiri,” katanya sambil menangis.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Pada awal perkahwinan memang begitu, lebih kurang sebulan akan menangis kerana belum biasa menerima hakikat bahawa kehidupan sudah berubah,” kata seorang netizen.
“Baiknya si suami memahami keadaan isteri. Semoga saya juga mendapat suami yang begitu,” ujar seorang pengguna lain. – Agensi