KLUANG – Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang memerlukan kira-kira 600 beg darah sebulan dan jangka dapat diatasi selepas menerima sumbangan sebuah lori hidraulik ‘Mobile Blood Bank’ daripada Hospital Pakar KPJ Kluang hari ini.
Pengarah HEBHK, Dr. Mohamad Nizam Subahir berkata, dengan adanya lori ini secara tidak langsung membolehkan Unit Bank Darah hospital berkenaan menjalankan usaha kempen menderma darah daripada penduduk di sekitar daerah ini dan mensasarkan kira-kira 650 beg berjaya diperolehi.
Katanya, HEBHK turut akan mampu menyediakan bekalan darah melalui kempen, menguruskan penderma darah bermasalah, menyediakan komponen darah, menjalankan ujian keserasian dan menjalankan siasatan kes kesan sampingan.
“Penggunaan darah di daerah ini termasuk fasiliti kesihatan swasta sekitar 4800 hingga 6000 beg setahun dan untuk KPJ Kluang sahaja kita telah bekalkan sebanyak 227 beg darah untuk tahun lalu (2022).
“Bagi mencapai sasaran atau anggaran kestabilan bekalan darah iaitu kira-kira 6,000 beg setahun, pihaknya memerlukan kempen secara bergerak antara 12 hingga 15 kali sebulan,” katanya.
Mohamad Nizam berkata demikian dalam ucapannya dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Lori ‘Mobile Blood Bank’ oleh Hospital Pakar KPJ Kluang syang disaksikan oleh Wakil Pengarah Kesihatan Negeri Johor, yang juga Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perubatan JKNJ, Dr Solhaa Mohd Mahfuz.
Dalam pada itu, Pegawai Pimpinan, KPJ Healthcare Berhad, Norhaizam Mohammad berkata, sumbangan berkenaan salah satu usaha pihaknya yang sentiasa komited untuk bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dalam memastikan kesihatan penduduk di negeri ini kekal terpelihara.
Ujarnya, sumbangan berkenaan juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPJ Healthcare untuk menyokong Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya dalam memastikan kesejahteraan sejagat masyarakat setempat.
“Ia merupakan salah satu langkah efektif untuk memudahkan penyediaan bekalan darah, lantas mengukuhkan kesalinghubungan hospital awam dan swasta di Johor, sekaligus mendapatkan bekalan darah dengan cepat dan mencukupi,”katanya.-KOSMO! ONLINE.