TAWAU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara 15 tahun serta 10 kali sebatan ke atas seorang warga emas selepas mengaku bersalah merogol anak saudaranya yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam tahun lalu.
Hukuman itu dibuat Hakim Rosli Ahmad ke atas tertuduh yang berusia 60 tahun. Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan bermula dari tarikh tangkapan pada 6 April 2022.
Tertuduh yang bekerja sebagai buruh ladang didakwa merogol mangsa yang berusia 20 tahun ketika kejadian di dalam tandas rumah pekerja ladang kelapa sawit di Semporna pada pukul 12.30 tengah malam, 7 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Syahnidzam Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh tinggal bersama mangsa dan ibunya. Mangsa bangun untuk ke tandas pukul 12.30 tengah malam sebelum diekori suspek lalu merogolnya pada hari berkenaan
Kejadian terkutuk itu disaksikan sendiri oleh ibu mangsa sebelum membuat laporan polis.
Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana mempunyai penyakit kencing manis. – KOSMO! ONLINE