fbpx

Tiada pencemaran air di Sungai Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan paras Sungai Muda berhampiran Jambatan Merdeka yang menyusut secara mendadak kembali pulih sejak Isnin lalu.

ALOR SETAR – Kualiti air Sungai Muda berada pada tahap baik mengikut bacaan yang direkodkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah selepas insiden kerosakan pintu baraj sehingga berlaku penurunan paras sungai itu, baru-baru ini.

Menurut pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab, bacaan indeks kualiti air di stesen pengawasan automatik Sungai Muda dicatatkan pada kelas dua dengan tiada sebarang pencemaran sekali gus membolehkan ia selamat untuk dirawat sebagai sumber air negeri ini.

“Memang ada pengawasan di beberapa kawasan di Sungai Muda dan stesen ini yang boleh mencetuskan amaran secara talian terus ke telefon. Kita boleh tahulah sekiranya ada berlaku pencemaran dan parameter apa yang terlibat.

“Jika ada, kita terus ambil tindakan susulan untuk siasat punca dan kita juga maklumkan kepada agensi-agensi berkaitan berkenaan dengan perkara tersebut. Setakat ini walaupun dengan perkembangan terkini itu Sungai Muda masih tidak tercemar,” katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Aidilfitri JAS Kedah di sini hari ini.

Akhbar ini melaporkan berlaku gangguan bekalan air terawat membabitkan kira-kira 251,800 akaun Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) di tiga daerah negeri ini termasuk Pulau Pinang.

Kejadian itu berlaku apabila tiga Loji Rawatan Air (LRA) gagal mengepam air ekoran penurunan paras Sungai Muda secara mendadak selepas air sungai itu terlepas ke dalam laut akibat kerosakan baraj.

Ketika ditanya adakah pensampelan khusus dibuat untuk mengenal pasti secara terperinci kualiti sungai tersebut, katanya, JAS Kedah terbuka untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Kejadian baraj itu sebenarnya bukan berada dalam tanggungjawab JAS. Ia adalah di bawah satu agensi yang lain cuma kita kalau diminta oleh mana-mana agensi kita akan bekerjasama jika ada permintaan.

“Namun setakat ini masih belum ada permintaan daripada mana-mana pihak tetapi JAS Kedah akan sentiasa memantau kualiti air itu dari semasa ke semasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI