fbpx

KPDN cari mekanisme kenal pasti penerima minyak masak peket bersubsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FUZIAH (depan) lima dari kiri pada Program Bimbingan Usahawan 2023 (PBU23) Peringkat Negeri Pahang di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam proses mengenal pasti penerima subsidi bersasar minyak masak peket bagi mencari mekanisme terbaik dalam isu berkenaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata, usaha mengenal pasti penerima yang layak penting bagi memastikan subsidi minyak masak peket dimanfaatkan kepada golongan bersasar.

“Pada masa ini kita mengeluarkan sebanyak 60 juta peket minyak masak bersubsidi sebulan yang masih dijual di seluruh negara termasuk secara pukal di pasar raya.

“Kita belum ada lagi mekanisme untuk memastikan minyak masak peket bersubsidi ini betul-betul sampai kepada yang layak seperti golongan B40 dan peniaga mikro, tetapi kita dalam perancangan dan berharap ia selesai dalam beberapa bulan akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Bimbingan Usahawan 2023 (PBU23) Peringkat Negeri Pahang di sini, hari ini.

Menurut Fuziah, golongan bersasar yang dimaksudkan itu termasuklah peniaga-peniaga kecil atau peniaga mikro yang terlibat dalam industri makanan.

Bagaimanapun katanya, peniaga-peniaga terbabit perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memastikan mereka menjalankan perniagaan mereka sekali gus layak menerima subsidi minyak masak peket itu.

“Kita jadikan pendaftaran SSM sebagai salah satu syarat kerana kalau tidak kita tidak tahu betul atau tidak mereka berniaga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI