MANCHESTER – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti mengibarkan bendera putih apabila mengakui pasukannya tewas kepada Manchester City yang lebih berhak mara ke pentas final Liga Juara-Juara musim ini.
Los Blancos tersingkir 1-5 secara agregat di tangan City selepas dibelasah 0-4 dalam aksi separuh akhir kedua di Etihad awal pagi semalam.
Penjaga gol Real, Thibaut Courtois terpaksa bekerja keras menyelamatkan gawang daripada dibolosi lebih banyak sepanjang tempoh 90 minit perlawanan tersebut.
“Mereka beraksi lebih bagus daripada kami dan berhak memenanginya. Mereka menekan kami sejak mula sehingga menyukarkan kami untuk mendapat bola ketika mereka mendahului 2-0.
“Kami berdepan kesukaran untuk kembali dalam perlawanan ini. Paling menyakitkan apabila kami telah mencuba segala-galanya, tetapi ia masih tidak berkesan,” kata Ancelotti.
The Citizens meraih empat gol menerusi dua jaringan Bernardo Silva pada minit ke-23 dan 37 selain masing-masing satu daripada Manuel Akanji (m-76) serta Julian Alvarez (m-90+1).
Ia sekali gus menebus dendam City terhadap Real apabila tersingkir di peringkat sama musim lalu dengan kekalahan 5-6 secara agregat sebelum lawan itu menjuarainya menewaskan Liverpool 1-0 di pentas final.
Bagaimanapun, Ancelotti, 63, enggan menyalahkan mana-mana pemainnya kerana merasakan kesemua mereka telah memberikan yang terbaik terutama ketika seri 1-1 dengan City sewaktu separuh akhir pertama minggu lalu.
“Tidak masuk akal untuk mencari kesalahan pemain hari ini. Benar kekalahan ini amat menyakitkan, tetapi ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.
“Kami patut berbangga berjaya melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara menentang lawan yang begitu hebat seperti City. Kami perlu terus belajar untuk menjadi lebih bagus musim depan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Ancelotti menegaskan, masih mahu meneruskan tugasannya bersama Real dan menyerahkan masa depannya kepada pihak pengurusan pasukan memandangkan kontraknya akan berakhir pada Jun 2024. – AGENSI