fbpx

Popsmalaya tembusi pasaran China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Rashid Bahri (tiga dari kanan) dan Rose Yasmin (empat dari kiri) menunjukkan beberapa jenis aiskrim Popsmalaya ibu pejabat Doluvo di Puncak Alam, Kuala Selangor

KUALA SELANGOR – Pengeluar produk aiskrim tempatan jenama Popsmalaya, Doluvo Sdn. Bhd. (Doluvo) melebarkan sayapnya ke China selepas berjaya mema­suki pasaran 14 buah negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rose Yasmin Abdul Karim berkata, ia merupakan pencapaian terbesar bagi syarikat sejak penubuhannya lebih enam tahun lalu.

Kami memang mahu mema­suki pasaran China kerana negara itu mempunyai populasi paling tinggi dunia, dianggarkan sekitar 1.4 bilion penduduk dan sebelum ini aiskrim Popsmalaya sudah berjaya masuk ke Austra­lia, Kuwait, Jerman dan beberapa negara lain.

“Sebagai permulaan, syarikat mengeksport 3,100 karton aiskrim yang dianggarkan bernilai RM250,000 ke negara itu dan kami akan mengeksport lebih banyak lagi sekiranya mendapat sambutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis flagoff aiskrim Popsmalaya di ibu pejabat Doluvo di sini baru-baru ini.

Rose Yasmin turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang membantu merealisasikan impian syarikat memasarkan produk Popsmalaya ke China.

Menurut beliau, bantuan diberikan termasuk daripada aspek pemasaran, logistik dan nasihat perniagaan.

“Untuk peringkat awal, saya tidak mengunjurkan keuntungan selepas mengeksport produk Popsmalaya ke sana dan hanya mahu jenama ini dikenali terlebih dahulu,” ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Ke­tua Pengarah Fama, Abdul Rashid Bahri berkata, pihaknya akan menjemput Popsmalaya menyertai pameran perda­gangan di luar negara pada masa depan.

Menurutnya, melalui pameran seperti itu, Doluvo berpeluang memikat syarikat luar negara untuk mengimport produk mereka. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI