KABUL – Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh semalam apabila sekumpulan militan menyerang salah sebuah universiti utama di Afghanistan.
Serangan ke atas Universiti Kabul itu berlaku kira-kira pukul 11 pagi (waktu tempatan) apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di dalam kampus.
Insiden itu adalah kejadian kedua yang menyaksikan sebuah institusi pengajian di kawasan ibu negara menjadi sasaran dalam tempoh kurang daripada dua minggu.
Dua lelaki bersenjata kemudian mula menjerit dan menyebabkan beratus-ratus pelajar melarikan diri serta memanjat tembok, kata pihak berkuasa.
“Kami semua berada dalam ketakutan dan beranggapan ini adalah hari terakhir kami hidup.
“Pelajar lelaki dan perempuan menjerit-jerit, berdoa dan menangis merayu pertolongan,” kata Fraidoon Ahmadi, seorang pelajar berumur 23 tahun.
Fraidoon berkata, serangan berlaku semasa dia berada di dalam kelas. Pada ketika itu, dia bersama sekumpulan pelajar lain dikepung lebih dua jam sebelum berjaya diselamatkan.
Kumpulan militan Daesh tampil mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.
Beberapa gambar tular di internet menunjukkan beberapa mayat pelajar terbunuh dalam keadaan tertiarap di atas meja dan kerusi.
“Mereka melepaskan tembakan. Semua rakan sekelas berlumuran darah sama ada sudah meninggal dunia atau cedera,” kata salah seorang pelajar kepada stesen televisyen tempatan.
Dia sempat melarikan diri dengan memanjat keluar tingkap di bilik berkenaan.
Kementerian Kesihatan Awam mengesahkan sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan 22 lagi cedera.
Setakat ini, tiada maklumat diperoleh berhubung bagaimana kumpulan militan itu membawa masuk senjata ke kawasan kampus universiti.
Jurucakap kementerian dalam negeri, Tariq Arian mengesahkan satu siasatan sedang dijalankan.
Jurucakap polis Kabul, Ferdaws Faramerz berkata, semua yang terbunuh adalah pelajar dengan sekurang-kurangnya 10 mangsa ialah wanita.
Minggu lalu, sekurang-kurangnya 24 orang, sebahagian besar ialah pelajar, terbunuh dalam serangan bunuh diri di sebuah pusat pendidikan di barat Kabul. Militan Daesh mengaku melakukan serangan tersebut. – AFP