fbpx

Pensyarah universiti rugi RM2.57 juta terperdaya Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang pensyarah universiti berputih mata apabila wang simpanan dan pinjaman peribadinya berjumlah RM2,576,781 lesap selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam
yang menyamar sebagai ejen insurans.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 22 Januari lalu selepas mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 52 tahun menerima panggilan telefon mendakwa mangsa terlibat dengan tuntutan insurans palsu dan penggubahan wang haram.

“Mangsa diminta membuka dua akaun bank untuk akaun siasatan sementara dan diarahkan memindahkan wang daripada akaunnya ke akaun yang dibuka.

“Suspek telah meminta mangsa untuk memberi maklumat perbankan miliknya berserta gambar kad mesin juruwang automatik (ATM) dan kata laluan,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kontinjen Pahang di Dataran Kawad Kompleks Logistik Alor Akar di sini hari ini.

YAHAYA (tiga dari kiri) memberikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kontinjen Pahang di Dataran Kawad Kompleks Logistik Alor Akar di Kuantan hari ini.

Menurut Yahaya, mangsa mula berasa ditipu setelah gagal menghubungi suspek dan wang yang dipindahkan sebanyak RM2,576,781 ke akaun sementara tidak diperolehi.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” ujarnya.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI