fbpx

Kerajaan laksana subsidi tiket penerbangan ke Sabah, Sarawak bermula lusa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke pada sidang akhbar di Stesen Keretapi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh FAUZI BAHARUDIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sehala bagi laluan-laluan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah atau Sarawak, bermula lusa.

Bantuan tersebut sejajar dengan Pesta Kaamatan yang akan disambut pada 30 Mei dan Hari Gawai pada 1 Jun.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya telah berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk satu program perintis.

Ujarnya, kerajaan akan membeli baki semua tiket penerbangan sehala dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak semasa tempoh tiga hari perjalanan sebelum tarikh sambutan kedua-dua perayaan tersebut.

“Harga tiket penerbangan sehala akan ditawarkan sebanyak maksimum RM300 atau mengikut tambang sebenar sekiranya kurang daripada harga tersebut. Harga ini tidak termasuk cukai dan fi.

“Setakat 17 Mei 2023, baki tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak adalah sebanyak 17,708 tiket penerbangan.

“Pecahan baki tiket adalah sebanyak 8,903 tiket (laluan Semenanjung Malaysia ke Sabah) bagi Pesta Kaamatan manakala 8,805 tiket (laluan Semenanjung Malaysia ke Sarawak) untuk Hari Gawai,” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Keretapi Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tambah Anthony Loke, bagi tiket laluan Johor Bahru-Sibu yang telah habis dijual, perkhidmatan penerbangan sewa khas (charter) akan disediakan dengan kekerapan sekali sehari pada tarikh-tarikh tersebut.

“Ini merupakan pertama kali dalam sejarah kerajaan membeli semua tiket untuk meringankan beban kewangan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Tiket yang dijual terbuka kepada semua. Walaupun begitu, untuk mahasiswa kita ada skim lain yang kita akan umumkan kemudian,” ujarnya.

Dalam pada itu, ujar Anthony Loke, anggaran kos keseluruhan bagi bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak adalah di antara RM5.8 juta hingga RM11.4 juta.

Katanya, projek perintis ini akan dipantau keberkesanannya untuk digunapakai semula pada musim-musim perayaan akan datang.

“Kita sudah boleh jangka, musim perayaan mesti harga tiket akan melambung dan habis. Jadi ini cubaan pertama kita untuk memudahkan mekanisme itu. Mungkin ada kelemahan yang kita tidak tahu pada masa akan datang.

“Namun saya perjelaskan, ini bukan harga siling yang ditetapkan untuk syarikat penerbangan. Tetapi kita beli pada harga diskaun untuk jual semula pada rakyat,” katanya.

Orang ramai boleh membeli tiket melalui laman sesawang Malaysia Airlines, Batik Air, Air Asia dan MyAirline mulai pukul 12.01 tengah malam, lusa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI