PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri dan Wilayah Persekutuan sehingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang itu dijangka melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Selangor antaranya di Hulu Langat dan Sepang, Johor antaranya di Muar dan Batu Pahat, Sarawak di Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit dan Miri, Sabah antaranya di Pedalaman dan Tawau,” katanya.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Kata MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter perjam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE