KUALA LUMPUR – Aktres Zara Zya mengakui mudah tersinnggung apabila terlalu kerap berdepan soalan tentang perkahwinan daripada orang ramai.
Menurut Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, disebabkan perkara itu, dia menjauhkan diri daripada orang ramai kerana enggan terus dihakimi berkaitan hal peribadi.
“Dua hari lalu saya menangis dalam siaran langsung TikTok sebab orang asyik bertanya hal peribadi.
“Ada beberapa soalan yang mungkin sebelum ini saya tidak peduli tetapi entah kenapa sejak akhir-akhir ini jadi sensitif sangat.
“Contohnya seperti tanya tiada orang yang hendak dekat saya ke? Tak kahwin ke? Tak laku ke? Soalan sebegitu yang sejak kebelakangan ini menyinggung perasaan saya,” katanya.
Bukan bermakna dirinya tidak boleh menerima teguran tetapi haruslah dengan cara yang lebih sopan dan elok didengar.
“Tidak tahulah kenapa, kita selalunya bangun pagi nak muhasabah diri tetapi ada yang buka mata untuk mengecam.
“Bukanlah saya tidak boleh ditegur langsung tetapi cara percakapan itu menggores hati saya.
“Saya gembira sahaja dengan hidup saya, namun apabila kerap dihakimi memang membuatkan saya sendiri trauma hendak keluar,” ujar pelakon drama Kerasnya Takdir itu.
Bukan hanya menjejaskan kesihatan mental, dia mengakui setiap kata-kata negatif yang diberikan kepadanya turut membuatkan dia mengambil pendekatan memencilkan diri daripada orang ramai.
“Otak saya menjadi penat dengan kata-kata orang sehingga rasa patah semangat untuk membuat siaran langsung dan keluar berada di tempat awam. Saya lebih suka duduk terperuk di rumah saja.
“Saya juga guna pendekatan tidur sebagai jalan pintas untuk melupakan masalah selain sudah dua bulan berehat daripada berlakon.
“Selama ini orang sering melihat saya gembira namun hakikatnya saya sendiri tidak menyangka impaknya sebegini impaknya begini,” ujarnya lagi.
Pada Februari lalu, nama Zara menjadi bahan bualan ramai didakwa sudah mengikat tali pertunangan dengan seorang usahawan selepas tular sebuah video sedang disarungkan cincin.
Namun, andaian tersebut meleset apabila video tersebut hanyalah gimik promosi sebuah produk kecantikan. – KOSMO! ONLINE