PETALING JAYA – Ahli kumpulan wanita sensasi Dolla, Angel menegaskan kontroversi yang membabitkan dirinya dan pelakon, Nadhir Nasar sedang bercinta adalah tidak benar.
Isu ini mula hangat diperkatakan apabila tindakan Angel dan Nadhir saling berbalas komen dalam media sosial masing-masing.
“Kami hanya berkawan sahaja, saling berbalas tweet (ciapan Twitter) tidak memberi sebarang makna pun. Itu hanyalah tindakan sebagai kawan biasa,” jelas Angle.
Bertanya sejauh mana mengenali Nadhir, Angel berkata mereka hanya bertemu pada acara-acara yang dihadiri.
“Kami berjumpa di event dan saling bertegur sapa dan perkara itu habis di situ sahaja, tidak lebih daripada itu,” katanya.
Bagaimanapun, penyanyi lincah itu berharap akan ada kolaborasi atau projek bersama aktor tersebut pada masa mendatang.
“Saya harap kami berdua ada projek atau kolaborasi bersama kelak memandangkan kami peminat drama Projek: High Council juga.
“Mana tahu nanti ada versi wanita pula (PHC) bolehlah ambil kami,” ujar Angel ketika ditemui usai acara Music is Universal anjuran Universal Music Malaysia, malam tadi.
Anggota kumpulan Dolla lain yang hadir sama termasuklah Sabronzo, Syasya dan Tabby selain penyanyi meningkat naik, Airliftz dan Mikha Angelo dari Indonesia. – KOSMO! ONLINE