fbpx

Irfan Zaini cuba nasib dalam pasaran Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IRFAN ZAINI

SELEPAS 10 tahun mencuba nasib untuk menembusi pasaran Melayu, pelakon Irfan Zaini akhirnya menarik nafas lega apabila dia kini mula meraih perhatian penggiat industri lakonan tempatan.

Irfan, 28, yang terlebih dahulu popular dalam industri lakonan Tamil tempatan menjelaskan, penglibatannya dalam drama Akira Khan dan Andai Itu Takdirnya telah membuka jalan untuknya menembusi pasaran Melayu.

“Sebenarnya sudah lama saya ingin berlakon dalam drama Melayu cuma sebelum ini belum ada rezeki. Bukanlah saya tidak bersyukur dengan rezeki dalam industri lakonan Tamil tempatan, tetapi saya mahu kerjaya lebih berkembang.

“Walaupun saya sudah ada pengalaman berlakon, tetapi dalam pasaran Melayu saya dikira sebagai pelakon baharu. Masih banyak yang perlu saya belajar lagi.

“Tetapi sepanjang terlibat dengan drama Melayu seperti Akira Khan bersama Uqasha Senrose dan Kamal Adli, serta Andai Itu Takdirnya yang membariskan ramai pelakon popular saya seronok kerana mereka melayan saya seperti keluarga,” ujar Irfan yang telah membintangi lebih 30 filem dan drama Tamil tempatan.

Bintang drama Showtime 1958 yang bersiaran di Netflix itu juga menegaskan, kerana minat mendalam dalam bidang lakonan, dia sanggup melakonkan sendiri aksi lagak ngeri dalam drama serta filem.

Malah, tangannya pernah cedera gara-gara melakukan sendiri aksi lagak ngeri dalam sebuah drama bersiri Tamil berjudul Astra.

“Lakonan merupakan minat saya sejak kecil, jadi apabila dapat melakukan pekerjaan yang diminati saya akan lakukan sehabis baik.

“Saya suka genre aksi sebab itu saya tidak kisah untuk melakukan semua aksi lagak ngeri sendiri, terasa lebih puas,” luah Irfan.

Bahkan Irfan atau nama sebenarnya, Muhammad Irfan Mohamed Zaini juga sanggup menggubah penampilan termasuk berat badannya demi menjayakan sesebuah watak.

“Saya sedar orang lihat saya mesti kata saya hanya sesuai watak antagonis dan watak India atau lelaki Pakistan, tetapi saya enggan dilabel hanya sesuai watak tertentu sahaja.

“Sebagai pelakon saya perlu versatil dan sanggup menggubah penampilan demi watak. Bagi saya tiada jalan pintas untuk berjaya,” ujar Irfan yang juga seorang model dan pengacara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI