fbpx

Bunuh selepas berang diperli, diejek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADIK mangsa, Nur Liyana Syuhada Ismail menyiram air ke pusara kakaknya, Siti Nor Suria (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Kampung Beladau Selat di Hulu Terengganu malam tadi. – PUQTRA HAIRRY ROSLI

HULU TERENGGANU – Polis berjaya menyelesaikan kes bunuh Siti Nur Suria Ismail, 19, dalam tempoh 17 jam apabila menahan kawan baik mangsa yang mengaku melakukan perbuatan kejam itu hanya kerana berang diperli gadis itu.

Suspek, 19, yang juga bekas rakan sekolah Siti Nur Suria ditahan pada pukul 7.30 pagi selepas dia tampil memberi keterangan di Balai Polis Telemong di sini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, ketika disoal siasat, suspek mendakwa telah menemui mayat Siti Nur Suria tertiarap di ruang tamu ketika pergi ke rumah mangsa pada pukul 9.30 pagi kelmarin.

ROSLEE

Bagaimanapun, katanya, polis mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila terdapat kesan lebam dan gigitan pada beberapa bahagian badannya sebelum dia mengaku telah membunuh mangsa.

“Dia menceritakan, pada mulanya dia hanya pergi ke rumah mangsa sekadar untuk bersembang kosong dan ketika sedang berbual itu, suspek mendakwa Siti Nur Suria telah merendah-rendahkan dirinya terutama tentang status ekonomi keluarga dan rupa parasnya.

“Suspek yang panas hati kemudian telah menyerang mang­sa yang kebetulan sedang meme­gang sebilah pisau untuk me­netas lebihan benang pada seluar­nya,” katanya di sini ­semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan mayat Siti Nur Suria ditemui berhampiran katil ibunya, Zaini Musa, 55, yang terlantar akibat sakit barah otak di Kampung Lubuk Batu, Telemong di sini.

 

 

Menurut Roslee, suspek dan mangsa kemudian telah bergelut hingga menyebabkan Siti Nur Suria cedera ditetak pada bahagian muka, leher dan dada menggunakan senjata tajam.

Tambahnya, suspek yang panik apabila mendapati ­mangsa tidak lagi bergerak selepas ditetak nekad memotong pergela­ngan tangan kiri mangsa hingga putus.

“Suspek juga telah mengambil wang dan telefon bimbit milik mangsa bagi mencipta plot ko­nonnya insiden itu bermotifkan samun sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal,” ­katanya.

Ujar Roslee, keterangan suspek konsisten dengan bukti televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah rumah burung walit berhampiran rumah mangsa.

“CCTV itu merakam kelibat suspek dan motosikalnya berada di rumah tersebut sewaktu kejadian,” katanya.

Suspek kini direman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI