Oleh MUHAMMAD ZIKRI
PONTIAN – Pengguna Jalan Benut–Batu Pahat merayu kerajaan membina lampu isyarat di simpang tiga di Pekan Tampok di sini bagi memudahkan urusan seharian kira-kira 3,000 penduduk terutama pada waktu kemuncak.
Persimpangan tersebut adalah laluan penduduk dari Parit Betak ke jalan utama untuk menuju ke Bandar Batu Pahat atau ke Pekan Benut.
Laluan itu turut digunakan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Menengah Agama (SMA) Bugisiah, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sinaran Tampok dan Sekolah Agama Al-Mustafa setiap hari.
Seorang penduduk, Abd. Rahman Mentol, 54, berkata, situasi itu menjadikan simpang tersebut sibuk dengan lalu lintas dan pengguna jalan raya bagaikan menggadai nyawa melaluinya.
“Tanpa lampu isyarat, pengguna jalan raya terutama ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah terpaksa mengambil masa yang lama untuk melepasi simpang tersebut.
“Sudah sampai masanya, kami sepatutnya menerima kemudahan lampu isyarat. Bilangan kenderaan yang melalui Jalan Benut-Batu Pahat kini semakin bertambah,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Abd. Rahim Abd. Rahman, 63, pula mendakwa, laluan tersebut juga sibuk pada waktu pagi ketika pekerja industri yang berdekatan dengan Pekan Tampok datang dari arah Pekan Parit Betak untuk ke tempat kerja mereka.
Katanya, selain penunggang motosikal, pengangkutan lain seperti van dan bas kilang juga menjadikan persimpangan tersebut semakin sibuk pada waktu kemuncak.
“Kerap juga berlaku kemalangan kecil di lokasi ini ekoran segelintir pemandu memandu laju dan tidak sempat mengelakkan kenderaan lain yang keluar dari simpang.
“Paling dibimbangi murid-murid yang menunggang basikal setiap hari ke sekolah yang turut melalui simpang ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia Tampok Daeng Jaafar Daeng Saadon berkata, pihak berwajib dimohon memasang lampu isyarat di simpang tersebut demi keselamatan pengguna.