PUTRAJAYA – Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah menjadi tiga negeri paling kerap dikunjungi rakyat Malaysia sepanjang tahun lalu.
Berdasarkan data My Local Stat Malaysia 2019 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, Selangor menerima kira-kira 33.6 juta pelancong domestik sepanjang tahun lalu diikuti Kuala Lumpur (22.6 juta) dan Sabah (22 juta).
Tiga negeri yang mencatat jumlah kehadiran pelancong tempatan paling rendah pula ialah Perlis dengan 2.08 juta pelancong, Putrajaya (1.94 juta) dan Labuan (524,000).
Mengikut kajian sama, bilangan pelawat domestik meningkat 8.1 peratus kepada 239.1 juta pada 2019 berbanding 221.3 juta pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, lima negeri mencatatkan bilangan penginap hotel tertinggi ialah Kuala Lumpur (18.3 juta) diikuti Pahang (11.6 juta), Johor (7.6 juta), Sabah (7.3 juta) dan Pulau Pinang (6.4 juta).
Dalam pada itu, bilangan pelancong asing yang melawat Malaysia pada tahun lalu meningkat kepada 26.1 juta pelancong berbanding 25.8 juta pelancong pada 2018.
Pelancong luar paling ramai yang mengunjungi Malaysia pula ialah dari Singapura (10.2 juta), Indonesia (3.6 juta), China (3.1 juta) dan Thailand (1.9 juta).