TELUK INTAN – Sepasang warga emas di Jalan Sungai Nibong di sini, terpaksa hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan di sebuah rumah usang yang tidak mempunyai bekalan elektrik sejak 14 tahun lalu.
Lebih membimbangkan apabila rumah berkenaan gagal diurus dengan baik ekoran keuzuran Abdul Talip Mantan, 65, bersama isterinya, Rabiah Satar, 50.
Menurut Abdul Talip, rumah itu merupakan bekas kediaman bagi kuarters Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
“Selain kekurangan barang kelengkapan, rumah ini juga tidak mempunyai bekalan elektrik. Ia menyebabkan pergerakan di waktu malam agak terbatas kerana kami berdua sukar untuk melihat dalam keadaan gelap.
“Isteri saya ada mengalami masalah pendengaran, jadi apabila dia mahu ke mana-mana pada waktu malam, saya perlu menemaninya,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Abdul Talip berkata, keadaannya yang kurang sihat menyebabkan dia tidak dapat membersihkan kawasan di sekitar tempat tinggalnya itu.
Abdul Talip berkata, dia pernah terserempak dengan haiwan berbisa seperti ular di pekarangan rumah gara-gara kawasan sekitar yang bersemak dan kotor.
“Atap juga bocor bahkan dinding rumah telah reput dimakan anai-anai. Kalau dilihat, memang tempat ini sudah tidak sesuai untuk didiami kerana terlalu berisiko untuk kami yang merupakan warga emas.
“Diharapkan ada pihak bersimpati dengan nasib kami dan membantu agar saya serta isteri dapat menduduki kediaman lain yang lebih selamat,” katanya.
Ujarnya, dia tidak berniat untuk mengeluh dengan nasib dirinya serta isteri, namun mereka sangat bimbangkan soal keselamatan diri.
“Sampai bila kami mahu tinggal di rumah ini? Lambat-laun kami perlu kosongkan juga dan waktu itu, di mana kami akan berteduh?” luahnya.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Abdul Talip di talian 013-5366540.