BIARPUN ikatan sebagai suami isteri sudah berakhir, namun pelakon Sharnaaz Ahmad tetap menghargai wanita yang pernah berkongsi hidup dengannya, Noor Nabila bersempena Hari Ibu, baru-baru ini.
Aktor itu juga menitipkan ucapan istimewa tersebut buat insan kesayangannya, Datuk Marina Puteh.
Menerusi hantaran Instagram, dia menyifatkan ibu serta bekas isterinya itu memberikan impak besar dalam kehidupannya.
“Kedua-dua wanita ini memberikan impak serta anugerah yang besar dalam hidup saya. Terima kasih mama dan mummy Nabila.
“Tanpa anda berdua, saya tidak akan berada di sini. Terima kasih mama dan mummy Nabila. Selamat Hari Ibu,” kongsinya.
Pada masa sama, bapa kepada Jebat Jayden itu turut meluahkan penghargaan terhadap Nabila yang disifatkan sebagai ibu yang sangat hebat.
“Terima kasih sebab jadi ibu yang sangat penyayang dan sangat bertanggungjawab. Anda adalah ibu yang terbaik di dunia!” tulisnya lagi.
Sementara itu, Nabila membalas dengan menzahirkan rasa terima kasih kerana Sharnaaz sentiasa menghargai dirinya.
Mizz Lahar pun tumpang seronok tengok mereka dapat berkawan demi permata hati.
Berpisah tak semestinya bermusuh. Tak gitu?
Mizz Lahar: Dengarnya ada selebriti pun bengang sampai campak komputer riba sebab tak dapat rebut tiket konsert Coldplay.