MILAN – Inter Milan memastikan tempat ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara selepas mencatat kemenangan 3-0 secara agregat ke atas musuh setempat, AC Milan di pusingan separuh akhir.
Pada aksi timbal balik yang berlangsung di San Siro awal pagi semalam, Inter berjaya mengekalkan fokus dan mencatat kemenangan 1-0 hasil gol tunggal perlawanan yang dijaringkan Lautaro Martinez.
Jurulatih Inter, Simone Inzaghi berkata, beliau menaruh sepenuh kepercayaan terhadap barisan pemainnya sejak awal saingan lagi dan mereka berjaya membuktikannya pada perlawanan awal pagi semalam.
“Bermula esok (hari ini), kami akan sedar tentang apa yang kami lakukan musim ini. Bagi saya, kami sudah mengharungi perjalanan yang cukup panjang selain bertemu pasukan-pasukan terbaik Eropah.
“Bagaimanapun, pemain-pemain saya percaya pada diri sendiri sejak awal saingan lagi. Mereka yakin dengan permainan sendiri dan sentiasa berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mampu menarik nafas lega memandangkan pemain-pemainnya dapat mengelak sebarang kecederaan meskipun terpaksa mengharungi jadual padat termasuk saingan liga dan Piala Itali.
Justeru, Inzaghi sedia untuk memberikan rehat kepada pemain-pemainnya kerana menganggap mereka berhak mendapat rehat selepas beraksi tanpa sebarang cuti dalam tempoh lebih sebulan.
“Saya akan berikan mereka rehat selepas perlawanan ini kerana pemain-pemain Inter tidak mendapat rehat yang cukup sejak April lalu. Saya harap mereka akan kembali lebih cergas selepas ini.
“Memandangkan kami sudah mara ke perlawanan akhir, kami hanya perlu tunggu siapakah lawan kami nanti. Apa yang pasti, ia bukanlah perkara mudah kerana hanya pasukan terbaik layak ke final,” ujarnya. – AGENSI