SABAK BERNAM – Hasil tanaman padi seramai 6,000 pesawah di Sungai Besar di sini, dijangka menyusut lebih 20 peratus akibat cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar, Sallehuddin Mohd. Iskan berkata, antara sebab lain adalah berpunca sumber air terhad yang menyebabkan padi kekurangan berat selain faktor serangan serangan penyakit padi dan serangga perosak.
Katanya, pesawah kebiasaannya akan memperoleh hasil pengeluaran padi antara sembilan sehingga 10 tan, namun keadaan cuaca panas luar biasa menyebabkan pesawah di kawasan berdekatan sekitar Tanjong Karang hanya mengutip hasil sehingga lapan tan.
“Faktor cuaca itu sememangnya tidak dapat dielak dan diharap sumber air akan mencukupi bagi menghasilkan padi berkualiti dan lebih berat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri PPK itu di Sungai Besar di sini, hari ini.
Sallehuddin memberitahu, kawasan padi di Sungai Besar berkeluasan 6,000 hektar meliputi mukim Panchang Bedena, Sungai Panjang dan sebahagian mukim Pasir Panjang.
Tambah beliau, pihaknya turut akan membina sebuah lagi pusat pukal padi bagi membantu pesawah di kawasan berkenaan tahun ini. – KOSMO! ONLINE