fbpx

Junjung titah YDPA, hentikan politiking

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MUHAMAD TARMIZE MOHD. NOR
WAKIL KOSMO! PERAK

PERSIDANGAN Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Perak minggu lalu mencuri tumpuan apabila ia bertukar tempo kerana tiada provokasi atau kekecohan berlaku antara pihak kerajaan dan pembangkang berbanding sebelum ini.

Mesyuarat Kedua Tahun Ketiga Persidangan DUN Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh itu dilihat tenang selain beberapa usul diluluskan.

Menurut Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr. Abdul Aziz Bari, wakil-wakil rakyat pembangkang memilih untuk mengurangkan politiking pada sidang kali ini.

“Ia sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara,” katanya.

Dalam sidang DUN yang diadakan selama sehari itu, dewan meluluskan usul Peterana Diraja atau bangku tempat duduk raja dalam DUN Perak yang dikhususkan untuk Sultan dan Raja Permaisuri Perak.

Usul yang bertujuan memastikan institusi diraja sentiasa berada di tempat paling tinggi itu disokong sebulat suara oleh ahli dewan tanpa dibahaskan.

Sidang DUN turut menyaksikan Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Slim, Mohd. Zaidi Aziz mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Mohamad Zahir.

Selain itu, sidang DUN turut meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2020 untuk menurunkan had umur layak menjadi calon ADUN kepada 18 tahun berbanding 21 tahun.

Bagaimanapun, ketika sesi soal jawab, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pemba­ngunan Modal Insan, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria mendedahkan, hampir 3,000 pekerja daripada pelbagai sektor di Perak dilaporkan hilang pekerjaan sejak awal tahun ini.

Ia meliputi sektor perkilangan, perhotelan, penyediaan makanan, pemborongan dan peruncitan selain sektor-sektor lain.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Oktober lalu juga pernah memaklumkan lebih 800,000 orang hilang pekerjaan dalam tempoh yang sama di seluruh negara akibat penularan pandemik Covid-19.

Oleh itu, titah YDPA kepada ahli politik untuk menghentikan segera segala perkara politiking ini sangatlah tepat selain tidak mengisytiharkan darurat se­perti yang dicadangkan Kabinet.

Dalam hal ini, Abdul Aziz sekali lagi menjelaskan, tindakan YDPA menangguhkan keputusan berhubung pengisytiharan darurat yang dicadangkan pentadbiran Perikatan Nasional itu pasti­nya melegakan rakyat.

“Perkara berhubung perisytiharan darurat itu adalah sesuatu yang sangat kritikal dan sepatutnya tidak diputuskan secara tergesa-gesa.

“Apa yang pasti, keputusan mengenai darurat boleh mengheret institusi diraja ke kancah politik khususnya imej istana sebagai payung negara yang tidak harus dijadikan cap getah keputusan kerajaan yang ada,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI