fbpx

Anna Jobling santuni peminat Indonesia, anjur rumah terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANNA JOBLING mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Jakarta, Indonesia, minggu lalu.

PETALING JAYA – Kehadiran pelakon Anna Jobling ke Jakarta, Indonesia bagi penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri mendapat reaksi luar biasa daripada peminat di republik tersebut..

Menurut Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, rumah terbuka tahun ini diadakan di Jakarta kerana mahu berlaku adil terhadap peminatnya dari kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

“Majlis berbuka puasa yang lalu telah berlangsung di Kuala Lumpur dan dihadiri oleh peminat dari Malaysia, jadi saya memang berniat untuk mengadakan rumah terbuka (Aidilfitri) di Jakarta pula.

“Alhamdullilah, segalanya telah berjalan dengan lancar yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan juga dibantu oleh kelab peminat Indonesia.

“Kalau diikutkan ini kali ketiga saya ke sana bertemu peminat selepas kali pertama dulu hadir bersama Meerqeen,” katanya.

Bercerita mengenai isu rumah terbuka di Jakarta, Anna, 22, sebelum ini dikecam gara-gara kenyataannya disalah tafsir selepas dia dikatakan enggan berkongsi alamat kediaman keluarga di Melaka.

Kononnya, pelakon drama rantaian Melur Untuk Firdaus itu tidak mahu peminat datang menyerbu kediamannya di negeri bersejarah itu.

“Semuanya adalah salah faham yang timbul daripada tajuk artikel. Kediaman keluarga Anna di Melaka sangat kecil ruangnya. Saya tidak kongsi alamat kerana tidak mahu tetamu yang hadir bersempit di rumah.

“Keluarga juga mahu privasi menyambut bulan kemenangan umat Islam tersebut,” katanya.

ANNA menyantuni para peminat di Indonesia dengan mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri minggu lalu bertempat di sebuah lokasi di Jakarta.

Tambah Anna, tidak timbul sebarang isu kalau ada yang beranggapan dia tidak berlaku adil dengan peminatnya di Malaysia dan Indonesia.

“Bukan mudah untuk puaskan hati semua pihak. Tapi, alhamdullilah, peminat saya sangat memahami dan tidak putus menyokong karier saya. Tak timbul isu pilih kasih atau tidak.

“Saya juga memang mencuba yang terbaik untuk meluangkan masa bersama-sama peminat jika ada waktu lapang,” ujarnya.

Anna ke Jakarta juga atas urusan kerja serta mencuri masa beramah mesra dengan peminat di sana.

“Ada beberapa tawaran daripada pihak produksi di sana,namun saya terpaksa menolak atas sebab jadual yang ketat di Malaysia.

“Jadi kali ini, pihak pengurusan akan cuba yang terbaik untuk menyusun jadual dan mempertimbangkan beberapa tawaran yang datang,” katanya.

Acara rumah terbuka Aidilfitri Anna Jobling dihadiri lebih 150 peminat berlangsung di Jakarta, Indonesia, Sabtu lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI