MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer terpaksa menerima hakikat beliau kehabisan idea menyaksikan skuad bimbingannya tewas 0-1 kepada Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Old Trafford awal pagi semalam.
Lebih menyedihkan, ia adalah kekalahan pertama The Red Devils dalam tempoh 14 tahun kepada Arsenal di laman keramat tersebut sejak 2006.
Solskjaer, 47, bingung menyaksikan persembahan anak-anak buahnya yang gagal mencapai standard sama ketika membelasah RB Leipzig 5-0 pada saingan Liga Juara-Juara minggu lalu.
“Inilah bola sepak, keputusan sentiasa berubah buat semua pasukan. Saya akui kami sangat pasif dalam perlawanan ini, selain gagal mengekalkan intensiti sama seperti dilakukan ketika bertemu Leipzig.
“Saya tidak mahu mencari alasan tetapi bagi saya, bermain sebagai tuan rumah atau pelawat langsung tidak membantu kerana tiada penonton yang dapat memberikan sorakan kepada kedua-dua pasukan,” katanya.
Legenda United itu juga menegaskan, barisan pemainnya tidak berdepan masalah mental selepas mereka gagal melakar kemenangan setiap kali beraksi di Old Trafford musim ini termasuk dibelasah Tottenham Hotspur 1-6 awal bulan lalu.
“Kekalahan ini tiada kaitan dengan mental pemain. Saya terpaksa akui ia disebabkan Arsenal bermain lebih baik walaupun kami tewas menerusi sepakan penalti,” jelas Solskjaer. – AGENSI