PUTRAJAYA – Selepas plat pendaftaran ‘AKU’ dan AMY’ mendapat sambutan hangat rakyat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka pula bidaan bagi ‘ANA’.
ANA jika disoroti Kamus Dewan Edisi Keempat, maksudnya adalah aku atau saya.
Malah, ‘ana’ juga adalah kata ganti nama diri bagi aku dan juga saya bagi perbualan harian masyarakat Arab kerana ia berasal daripada bahasa Arab.
JPJ menerusi hantaran di Facebook berkata, bidaan bagi plet pendaftaran ANA itu akan mula di buka pada 20 Mei ini dan ditutup untuk bidaan pada pukul 10 malam, 24 Mei.
Menurutnya, bidaan boleh dibuat menerusi https://jpjebid.jpj.gov.my dan keputusan bidaan diumum pada 25 Mei ini.
Tinjauan di ruangan komen Facebook rasmi JPJ mendapati, netizen menunjukkan rasa teruja untuk mendapatkan plet pendafaran ANA itu.
Selepas setengah jam hantaran itu dimuat naik di Facebook rasmi JPJ, ia menerima lebih 170 komen dan dikongsi lebih 130 kali.
Ruangan komen hantaran itu mula dibanjiri padanan dan gabungan abjad dan nombor yang unik termasuk ANA5, ANA2, ANA805, ANA805 dan ANA1.
Malah, ada yang turut ‘tag’ hantaran itu kepada rakan-rakan yang juga ustaz dan ustazah. – KOSMO! ONLINE