fbpx

Lee Zii Jia yakin Malaysia sudah sedia berdepan Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA melaungkan keyakinan Malaysia sedia berdepan Taiwan menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Sudirman di Suzhou, China yang berlangsung hari ini.

JAGUH perseorangan badminton No.1 negara, Lee Zii Jia mengakui semangat skuad negara dalam keadaan terbaik, sekali gus tekad membawa semangat tersebut menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Sudirman di Suzhou, China yang berlangsung hari ini.

Biarpun Malaysia sudah sah ke suku akhir Piala Sudirman, namun Zii Jia menegaskan, mereka akan berusaha lebih keras dan tidak memandang mudah cabaran Taiwan.

“Saya akan kekalkan momentum dan fokus untuk menang menentang Taiwan. Saya ada menang ada kalah, namun kali ini semangat pasukan sangat kuat dan sangat membantu.

“Saya harap sokongan ini berterusan ketika menentang Taiwan. Sokongan seperti ini sangat bermakna kerana kita perlukan semangat ketika bermain,” katanya.

Terdahulu, skuad negara menang dua perlawanan di peringkat Kumpulan C selepas mengatasi Australia 5-0 dan membenam India 5-0 dalam perlawanan kedua kelmarin.

Pada aksi menentang India, perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei paling mencuri tumpuan selepas menewaskan bekas juara dunia, P. V. Sindhu 14-21, 21-10, 22-20 pada aksi perlawanan ketiga, sekali gus mengesahkan tempat Malaysia ke suku akhir lebih awal.

Mengulas kejayaan menewaskan Sindhu, Jin Wei berkata, perasaan itu sukar digambarkan kerana ia merupakan kemenangan pertamanya ke atas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu selepas tewas dalam empat pertemuan.

“Sekarang (baru boleh relaks, kerana mata sangat dekat (ketika menentang Sindhu), jadi satu saat pun tidak boleh relaks main. Untuk perlawanan seterusnya menentang Taiwan, kita tidak boleh relaks kena buat sehabis baik,” katanya yang menewaskan Sindhu 14-21, 21-10, 22-20 kelmarin.

Pada saingan tersebut, beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut menyumbang mata pertama skuad negara selepas menewaskan Dhruv Kapila-Ashwini Ponnappa 21-16, 21-17 sebelum Zii Jia meletakkan Malaysia selesa di depan menerusi kemenangan ke atas K. Srikanth 21-16, 21-11.

Melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia ialah juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetepikan cabaran Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-18, 21-19 sebelum beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah menewaskan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela 21-15, 21-13.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI