JOHOR BAHRU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menutup serta-merta operasi taska yang dipercayai terlibat dalam kes penderaan dua orang bayi di Mutiara Rini, Skudai di sini selepas premis berkenaan disahkan tidak mempunyai lesen operasi sah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, dua cawangan lain taska itu di Jalan Abd Samad dan Gelang Patah turut ditutup di bawah Seksyen 20a Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.
“Saya dapati taska berkenaan belum mendapatkan lesen JKM kerana belum menerima kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan bomba.
“Kalau tiada kebenaran daripada tiga pihak ini, JKM tidak boleh keluarkan lesen. Sebelum ini pun kita dah nasihat supaya tidak beroperasi tanpa lesen, tetapi pengusaha berdegil dan tetap beroperasi juga.
“Jika sabit kesalahan, pengusaha taska boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya selepas melakukan lawatan ke taska berkenaan, hari ini.
Tambah Khairin-Nisa, pengusaha dipercayai memohon lesen awal tahun ini, namun telah beroperasi secara haram antara tiga hingga empat bulan.
“Saya menasihati ibu bapa yang menghantar anak-anak ke taska supaya menyemak sendiri dengan JKM sama ada tempat yang dihantar mempunyai lesen menjaga kanak-kanak,” jelasnya.
Pengasuh yang merupakan suspek dalam kes ini telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE