fbpx

Zuhri tekad langgar pasukan gergasi STL musim ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD KPT-Masum Knights yang bertekad melakukan kejutan dalam saingan STL musim 2023 diperkenalkan dalam satu majlis ringkas di Astana Putra, UPM semalam.

SIAPA datang kita langgar, itulah keyakinan yang dilemparkan tekong pasukan KPT-Masum Knights, Zuhri Muhammad Zain yang bertekad melakukan kejutan dalam saingan Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) musim 2023.

Meskipun sedar turun dengan status sebagai pendatang baharu, Zuhri yang memperkuatkan Selangor Pistons sebelum ini percaya persiapan lebih lima bulan menjadikan mereka kebal untuk menghadapi tentangan pasukan lebih berpengalaman seperti Johor Tigris mahupun KL Thunder.

Kata Zuhri, biarpun mereka tidak dibarisi pemain import, namun ia tidak mematahkan semangat mereka kerana percaya pemain institusi pendidikan tinggi (IPT) mampu memberikan aksi terbaik dan menandingi pasukan lebih berpengalaman.

“Syukur diberi peluang main bersama pasukan KPT-Masum Knights dan pastinya harapan saya adalah untuk membantu pasukan ini mencapai kejayaan. Saya juga berharap, saya mampu menampilkan permainan lebih baik dan cemerlang pada setiap perlawanan.

“Meskipun pasukan ini dibarisi pemain IPT, rata-rata pemain mempunyai pengalaman beraksi di pentas STL. Bagi saya, sasaran untuk berada dalam kelompok empat terbaik yang diletakan pihak pengurusan adalah realistik,” katanya pada majlis memperkenalkan pasukan KPT-Masum Knights di Astana Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam.

Tekong kelahiran Gombak, Selangor itu bakal menjadi sandaran utama pasukan KPT-Masum Knights selepas menjadi watak penting membantu Johor menamatkan kemarau penantian 56 tahun untuk menjuarai Piala Emas Khir Johari hujung tahun lalu.

Dua pemain dari Johor Tigris, Nur Haziq Norali (apit kanan) serta Muhammad Aiman Hakim Zakari (apit kiri) turut terpilih beraksi bersama pasukan KPT-Masum Knights. Pemain Selangor Pistons, Khairul Hafifi Tajudin (apit kanan) turut diperkuatkan pasukan tersebut.

Tujuh daripada lapan pemain Masum-Knights termasuk kapten, Najmi Syahfiq Anuar yang merupakan pelatih skuad kebangsaan tahun ini, pernah memenangi pingat perak acara berpasukan pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI