Oleh AZIZAN HASHIM
KETUA jurulatih pasukan Perak, Mehmet Durakovic enggan mendabik dada terhadap peluang Perak selepas diundi menentang pasukan Liga Premier, Kelantan United pada pusingan pertama kejohanan Piala Malaysia Sabtu ini
“Saya tidak sekali-kali memandang mudah terhadap kemampuan lawan pertama kami. Dalam pertandingan Piala Malaysia, segala-galanya mungkin berlaku.
“Pasukan kerdil mampu menumpaskan pasukan gergasi jika tidak berhati-hati kerana tiada yang mustahil dalam bola sepak.
“Tambahan pula, kali ini formatnya berlainan iaitu setiap pasukan hanya mempunyai satu peluang. Ini bererti setiap pasukan turun dengan misi hidup atau mati dalam setiap perlawanan.
“Pasukan yang melakukan kesilapan sudah pasti akan menanggung akibatnya,” kata Durakovic kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Durakovic berharap barisan pemain menggunakan sesi latihan sepanjang minggu ini sebagai azimat untuk beraksi cemerlang dalam usaha melangkah ke pentas suku akhir.
Durakovic turut mengesahkan barisan pemain seperti Guilherme De Paula, Kenny Pallraj, Mohd. Hafiz Ramdan, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dan Chanthacheary Bin masih belum cergas daripada kecederaan yang mereka alami baru-baru ini.