LANGKAWI – Kementerian Kerja Raya mengarahkan semua kerja penyelenggaraan di jalan-jalan utama di pulau peranginan ini dihentikan sepanjang penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23).
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, arahan itu berkuat kuasa pada 21 hingga 28 Mei ini bagi memastikan kelancaran trafik dan mengurangkan kesesakan berikutan jumlah kenderaan yang bertambah dalam tempoh itu.
“Langkah ini juga akan membantu anggota polis untuk mengawal kesesakan yang dijangka berlaku semasa acara tersebut berlangsung,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Jalan Ulu Melaka – Makam Mahsuri, di sini, hari ini.
Alexander pada masa sama mahu semua kerja baik pulih dan penyelenggaraan yang penting disiapkan segera sebelum acara berlangsung.
“Kementerian juga telah mengambil langkah proaktif dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan berkala pavemen (turapan jalan).
“Kerja-kerja penyelenggaraan berkala bukan pavemen yang merangkumi skop kerja mengecat garisan jalan telah siap dilaksanakan di lapan lokasi Jalan Persekutuan dengan jumlah kelulusan peruntukan RM500,000,” ujarnya.
Menurutnya lagi, jumlah itu adalah sebahagian daripada RM3.8 juta yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan bagi kerja-kerja penyelenggaraan rutin dan kecemasan sekitar Langkawi sepanjang tahun ini.
“Kelulusan ini adalah bagi memastikan pulau ini bersedia untuk menerima kunjungan pelawat sempena LIMA’23, selain dapat dinikmati penduduk tempatan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE