fbpx

Tangani isu sosial melalui permainan video

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BENGKEL Serantau YSEALI Game Changers menghimpunkan pereka-pereka permainan video dari 11 negara Asia Tenggara.

MENANGANI isu sosial merupakan antara usaha berterusan yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk membentuk komuniti lebih baik.

Usaha tersebut meliputi pelbagai peringkat dan aspek bagi memastikan mesej yang dibawa dapat memberi kesedaran kepada orang ramai.
Bagi menangani isu sosial, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, dengan kerjasama Biji-biji Initiative dan Synapze menganjurkan Bengkel Serantau Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) Game Changers.

Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Biji-biji Initiative, Rashvin Pal Singh, bengkel tersebut merupakan salah satu inisiatif bagi menangani isu sosial menerusi permainan video.

“Acara ini menghimpun pereka-pereka permainan dari 11 negara Asia Tenggara untuk berkongsi idea dalam menghasilkan permainan video yang membawa mesej kesedaran.

“Bengkel ini memberi ruang buat pereka mencipta permainan yang menangani isu sosial dan ‘game jam’ serta membuat prototaip permainan berkaitan perubahan iklim, libat urus sivik, pemerkasaan ekonomi serta pendidikan,” katanya pada pelancaran YSEALI Game Changers di Mereka, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Duta Besar AS ke Malaysia, Brian D. McFeeters.

Tambahnya lagi, YSEALI adalah program perdana kerajaan AS untuk mengukuhkan perkongsian dengan ‘pemimpin baharu’ di Asia Tenggara.

Ujarnya, ia bertujuan mengembangkan kemahiran belia sebagai pemimpin sivik dan ekonomi serta menggalakkan mereka menyelesaikan cabaran serantau.

Program yang berlangsung dari 11 hingga 14 Mei lalu itu memberi peluang kepada peserta dalam ‘game jam’ dan pertandingan ‘pitching’ untuk bersaing mendapatkan lebih AS$30,000 (RM133,875).

Hadiah berkenaan dalam bentuk pembiayaan permulaan dan bimbingan selama tiga bulan untuk melengkapkan pembangunan prototaip permainan mereka.

MCFEETERS bersama Hannah sewaktu pelancaran Bengkel Serantau YSEALI Game Changers di Mereka, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kemudian, prototaip permainan itu akan dipamerkan pada persidangan permainan antarabangsa 2023.

Bengkel YSEALI Game Changers juga disokong oleh pelbagai rakan kongsi sektor awam dan swasta termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Microsoft Xbox, Persona Theory Games serta Sony PlayStation Studios Malaysia.

Sementara itu, McFeeters turut memberitahu, melalui bengkel itu, pihaknya menggunakan kuasa platform YSEALI untuk memberi peluang kepada belia mereka permainan yang mampu memberi kesan kepada komuniti dan dunia.

“Sebagai penggubal dasar, kita mempunyai peranan penting dalam membentuk masa depan industri permainan.

“Kita mesti berusaha mewujudkan persekitaran yang membolehkan pembangunan serta penghasilan industri yang bukan sahaja sihat, malah mampu memberi impak sosial kepada masyarakat.

“Asia Tenggara semakin pantas menjadi hab untuk pembangunan permainan dan teknologi kreatif lain.

“Populariti serta interaktiviti permainan video merupakan satu cara unik untuk melihat isu penting seperti perubahan iklim dan celik media dengan cara baharu,” ujarnya.
Bengkel Serantau YSEALI Game Changers dipimpin oleh pakar reka bentuk permainan terkenal AS dan Asia Tenggara termasuk Lindsay Grace, Knight Chair dalam Media Interaktif di Universiti Miami.

Bengkel berkenaan turut disertai oleh Pengasas Bersama/Presiden E-Line Media, Alan Gershenfeld serta pereka permainan dan pengajar yang memenangi anugerah di Universiti DePaul, Lien Tran.

Antara pakar serantau yang menyertai program itu ialah Pengarah Urusan Persona Theory Games, Saqina Latif; Pengasas Khayalan Arts, El Lim, serta Pengasas Bersama dan Pengarah Kreatif Altitude Games, Luna Javier.

Sementara itu, salah seorang peserta dari Filipina, Frei Sangil, 32, memberitahu, Bengkel Serantau YSEALI Game Changers merupakan contoh terbaik bagaimana permainan menghubungkan orang ramai, menyatukan komuniti dan memberi inspirasi kepada perubahan ekonomi serta sosial.

“Ia menggambarkan sifat permainan yang meluas, kuasa berinteraksi dan melibatkan pemain serta pereka.

“Menerusi ‘game jam’ pula, saya berpeluang belajar kemahiran dan pengalaman baharu.

“Ia diharap dapat merealisasikan permainan video yang kami reka khusus untuk pembangunan komuniti terutama di Filipina,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI