CARACAS, Venezuela – Seorang wanita di Venezuela menjadi perhatian pengguna media sosial selepas mendedahkan bahawa dia bersahabat dengan kekasih gelap teman lelakinya dan bersetuju untuk ‘bermadu’, lapor agensi berita United Press International (UPI), semalam.
Sofia Gutierrez dari Lecheria tular di laman Facebook selepas menyiarkan gambar dirinya bersama seorang wanita yang didakwa kekasih simpanan teman lelakinya dan juga kawannya.
Gutierrez mengetahui kecurangan kekasihnya setelah memeriksa mesej pada aplikasi pesanan WhatsApp lelaki itu.
Daripada bersemuka dengannya, dia memilih untuk menghubungi wanita itu dan mereka akhirnya berkawan baik.
Menurut Gutierrez, dia bersetuju berkongsi teman lelaki dengan Sarahy Gill.
Hantaran dimuat naik oleh Gutierrez bukan sahaja mendapat lebih 2,600 emoji dan beratus-ratus komen di Facebook, malah dipaparkan oleh media-media tempatan.
Sebilangan netizen meminta Gutierrez untuk mendedahkan teman lelakinya yang ‘bertuah’ itu, namun ada yang meragui sekiranya perkara yang diberitahu wanita itu benar. – Agensi