SHAH ALAM – Masalah sampah dan penyelenggaraan kebersihan flat kos rendah di Johor akan diselesaikan segera dalam tempoh dua hari.
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya mengambil berat dan menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung kekecewaan baginda mengena isu tersebut.
“Saya sudah terima gambar-gambar sampah daripada Sultan Johor berkenaan beberapa lagi flat. Itu akan tangani segera terdekat masa terdekat, dua hari ini.
“Tindakan akan diambil atasi isu itu khususnya rumah-rumah flat yang disebut Sultan Johor,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis apresiasi kecemerlangan tahun 2022 kementeriannya di Pusat Konvokesyen Majlis Bandaraya Shah Alam hari ini.
Terdahulu, Sultan Ibrahim bertitah menzahirkan perasaan kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat-flat kos rendah di negeri ini.
Baginda bertitah kebanyakan flat-flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.
Mengulas lanjut, Kor Ming menjelaskan, SWM Environment Sdn Bhd (SWM) akan memberikan maklum balas tentang isu dibangkitkan Sultan Johor itu.
“Cuma saya minta kerjasama dariapda semua agensi kerana bukan semua salah SWM.
“Ini kerana ada beberapa isu tersebut di luar skop kerja dan kontraknya. Mereka tidak boleh melebihi bidang kuasanya. Jika tiada dalam peruntukkan kontrak, bagaimana hendak buat,” katanya. -KOSMO!ONLINE